Sensasi Terkini Viral

Musim Bunga Kembali Mewarnai Kedah

Jangan ingat hanya di negara empat musim sahaja ada musim bunga. Di Kedah terutama di ibu negerinya, Alor Setar memang terkenal dengan ‘musim bunga’ yang mempesonakan.

Malah, orang setempat menggelarkan ia sebagai musim bunga sakura kerana ia seakan-akan bunga dari Jepun yang popular itu. Kini musim ini kembali lagi dan sekali lagi wajah Alor Setar berubah.

Pokok tersebut ialah pokok tecoma atau nama saintifiknya ‘tabebuia rosea’ mengeluarkan bunga pada musim kering dan panas iaitu sekitar Februari hingga Mac.

Melihat pada gambar-gambar yang tersebar di internet memang seakan-akan musim bunga di luar negara. Bezanya kalau musim bunga di luar negara suhunya agak dingin tetapi di sini suhunya panas.

Pokok tersebut telah ditanam oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), sejak 15 tahun lalu. Pokok ini sebenarnya berasal dari Amerika Selatan.

Keindahan fenomena ini sering digunakan sebaik mungkin oleh mereka yang gemar seni fotografi.

Malah, kalau ada yang mahu berkahwin, inilah peluang untuk bergambar kenangan ala-ala di luar negara.

Peluang ini perlu direbut dengan segera kerana ia hanya lebat berbunga selama dua minggu sahaja sebelum layu dan luruh.-KLICK.MY