Viral

Mufti Wilayah Persekutuan Jemput Faiz Roslan Bertemu Dengannya

MENGAMBIL tindakan atas laporan yang diterima daripada netizen berkenaan pengakuan terbuka Instafamous, Faiz Roslan yang tidak berpuasa, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menjemput pemuda itu untuk bertemu dengannya.

Menerusi kenyataan yang dikemukakan di Facebook, Zulkifli menyedari isu yang hangat diperkatakan orang ramai mengenai Faiz yang terus memuat naik video berpakaian wanita, selain beraksi keterlaluan pada bulan puasa.

Berikut adalah kenyataan daripada mufti tersebut:

MUHAMMAD FAIZ ROSLAN

  1. Sehari dua ini, kami terdengar isu yang begitu hangat diperbincangkan oleh netizen Malaysia berkenaan seorang “instafamous” anak muda lelaki yang sering memuatnaik gambarnya dengan pakaian wanita serta mengaku tidak berpuasa di bulan Ramadhan.
  2. Sejujurnya, saya baru sahaja meneliti beberapa maklumat yang diperoleh tentang anak muda ini melalui rakan-rakan staf di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Saya juga dimaklumkan yang beliau telah menutup akaun Instagramnya baru-baru ini atas sebab yang tidak diketahui.
  3. Kepada saudara Faiz, saya yakin dan percaya saudara mempunyai iman yang baik, semangat serta keberanian yang tinggi. Jika tidak, masakan saudara dan rakan-rakan sanggup hadir jemputan Motif Viral tempohari dan berbincang dengan baik.
  4. Sudah menjadi kebiasaan manusia kadangkala terkhilaf dalam menyampaikan pandangan dan tindakan. Justeru, sebaiknya adalah kembali kepada kefahaman sebenar al-Qur’an dan al-Sunnah yang telah digariskan dalam Islam. Saya yakin, setiap masalah akan ada titik penyelesaiannya.
  5. Ada juga yang meminta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenakan tindakan penguatkuasaan kepada beliau atas kelakuannya yang tidak menghormati bulan Ramadhan. Ingin saya nyatakan bahawa sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan adalah di luar bidang kuasa Mufti dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
  6. Saya dengan penuh rendah diri dan sukacita menjemput saudara Faiz Roslan dan rakan-rakan untuk hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang beralamat di:

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,

Aras 5, Kompleks Islam Putrajaya Blok D,

Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3,

62100 Putrajaya, WP Putrajaya.

Saudara Faiz boleh berhubung melalui Setiausaha Mufti di talian 03-88709104 ATAU Ustaz Muhammad di talian 017-2559506. Saya menanti balasan daripada saudara Faiz. Semoga ada penyelesaiannya bagi isu-isu yang berbangkit.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Mungkin Faiz boleh menerima pelawaan ini kerana sebelum ini pun dia pernah muncul dalam rancangan Motif Viral dan bertemu empat mata dengan pendakwah bebas, Da’i Wan. –KLICK.MY

 

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.