Gaya Hidup Terkini

“Mu Carilah Mayat Aku Di Kawasan Itu”-Lelaki Tekad Bunuh Diri

PERBALAHAN kecil antara sepasang suami isteri akhirnya membawa kepada kematian si suami apabila dia tekad membunuh diri.

Mayat lelaki berkenaan dijumpai tergantung di dahan sebatang pokok di kawasan hutan dekat Kampung Serdang, Dungun, Terengganu semalam.

Dalam laporan Harian Metro, menurut isteri lelaki berkenaan  berlaku pergaduhan mulut antara dia dan suaminya berhubung masalah rumah tangga pada 21 Jun lalu.

Katanya lagi, selepas pergaduhan itu, suaminya keluar dari rumah dengan memandu van miliknya.

“Sebelum keluar, suami ada berpesan kepada saya, ‘mu pergi ambil van kat Kampung Serdang dan mu carilah mayat aku di kawasan tu’.

“Saya ingat dia bergurau sehinggalah pada 10 pagi 26 Jun, saya terima panggilan telefon daripada seorang rakan yang memaklumkan menemui van milik suami di situ,” katanya.

Ceritanya lagi, sejam selepas itu dia pergi ke kawasan berkenaan dan hanya menemui van suaminya.

Dia mencari di kawasan sekitar, namun tidak menemui suaminya, sebaliknya hanya menemui kad nikah mereka dan kad pengenalan suami sebelum pulang ke rumah.

Kemudian dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pagi semalam kerana bimbang dengan keselamatan suaminya.

Bertindak atas laporan, sepasukan empat anggota dan pegawai diketuai Asisten Superintendan Kamarul Mohamed Salleh melakukan siasatan di sekitar kawasan terbabit pada 3 petang.

Anggota polis yang mengesan bau busuk di situ melancarkan gerakan mencari dan ternampak sehelai kain tuala digantung mangsa sebagai penanda mayatnya ada di situ.

Berpandukan tuala terbabit, anggota polis meredah kawasan hutan itu dan akhirnya menemui mangsa yang hanya memakai seluar jean berwarna hitam tergantung di dahan pokok terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, sepasukan enam anggota dipanggil ke lokasi kejadian untuk menurunkan mayat mangsa.

Katanya, anggota bomba menggunakan tangga dan mayat dibawa turun pada 6.25 petang.

“Mayat lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, mayat lelaki itu dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun dan siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.