Luar Negara Terkini

Misteri Semut Keluar Dari Mata Budak Perempuan Bingungkan Doktor

SEORANG budak perempuan menjadi tajuk berita gara-gara berpuluh ekor semut keluar dari matanya.

Kira-kira 60 ekor semut telah dikeluarkan dari mata Ashwini, 11,  setakat ini, yang mana doktor pada mulanya mencadangkan serangga itu masuk ke dalam badannya melalui telinga.

Minggu lalu, Ashwini yang tinggal di Belthangady, India mula mengadu matanya sakit teruk dan memberitahu ibu bapanya bahawa dia berasakan ada sesuatu yang tersekat di kelopak matanya.

Setelah diperiksa, mereka mendapati terdapat semut di sebelah matanya.

Bagaimanapun, ibu bapanya tidak menganggap perkara itu serius kerana berfikir serangga itu masuk ke dalam matanya secara tidak sengaja, tetapi tidak lama kemudian  Ashwini mengadu sakit mata sekali lagi.

Kali ini mereka menemui lebih banyak semut yang sudah mati dan terus membawanya ke hospital.

Seorang doktor tempatan memberitahu ibu bapa Ashwini bahawa serangga itu mungkin masuk ke dalam tubuhnya melalui telinga dan kemudian naik ‘sampai’ ke matanya.

Dia memberikan beberapa titis ubat mata untuk membantu rasa tidak selesa yang dialami Ashwini, tetapi setiap hari terdapat lima hingga enam ekor semut dikeluarkan dari matanya.

Seminggu yang lalu, Daily Mail melaporkan terdapat sekitar 60 ekor semut mati di dalam mata Ashwini dalam tempoh 10 hari.

Situasi ini menyebabkan doktor-doktor di Belthangady bingung bagaimana semut-semut itu boleh berada di dalam mata Ashwini dan apa yang dapat mereka lakukan untuk menghentikan fenomena aneh ini.

Dia akhirnya dibawa ke hospital mata di Moodabidri, di mana keluarganya berharap mendapat jawapan.

IB Times melaporkan ibu bapa Ashwini bimbang dia telah diganggu “semangat jahat” jadi mereka juga membawanya berjumpa seorang ahli nujum yang memberitahu bahawa semut dalam mata itu disebabkan oleh sesuatu yang dipanggil Naga Dosha (sumpahan ular).

Beberapa tahun yang lalu, berlaku kes aneh yang mana semut keluar dari telinga seorang budak perempuan di Shreya Darji, India setiap hari.–KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen