Semasa Terkini Viral

Sardin Dari China Ditarik Balik Kerana Mengandungi Cacing

DUA produk sardin dalam tin dari China iaitu Canned Sardines in Tomato Sauce TL Tan Lung dan Sardines in Tomato Sayce TLC diarah ditarik balik dari pasaran kerana mengandungi bendasing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada jenis Genus Anisakis spp.

BH Online melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan kepada dua syarikat pengimport sardin dari China iaitu syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd kerana produk yang diimport tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan mackerel dalam tin.

“Pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran sentiasa dilakukan dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Kementerian Kesihatan mengambil maklum laporan yang menjadi viral di laman sosial berkaitan cacing mati ditemui dalam produk ikan sardin dalam tin dari negara China.

“Laporan itu menyatakan bahawa pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan tiga pengimport produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produknya dari pasaran selepas pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk mereka yang diimport dari negara China,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.