Hiburan Sensasi Terkini

Tak Sampai Sehari Sudah Ada Puluhan Akaun IG Palsu Siti Aafiyah

PENANGAN populariti anak Datuk Seri Siti Nurhaliza memang tidak dapat dinafikan apabila puluhan akaun Instagram palsu menggunakan nama Siti Aafiyah, diwujudkan tidak sampai sehari selepas nama itu diumumkan.

Sebelum diumum secara rasmi, nama anak kepada penyanyi tersohor ini sememangnya dinanti-nantikan orang ramai selepas berita tentang kelahirannya mendapat liputan meluas media sama ada tempatan mahupun di negara seberang seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Baca: Ilham Ketika Di Tanah Suci, Siti Aafiyah Nama Anak Sulung Siti Nurhaliza

Siti dan suami akhirnya mengumumkan nama sebenar anak mereka secara langsung dalam satu majlis aqiqah dan tahnik yang diadakan bermula pukul 9 malam semalam, di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa, Ampang.

Sejurus selepas itu banyak pihak tidak bertanggungjawab didapati tanpa rasa bersalah mengeksploitasi nama Siti Aafiyah bagi kepentingan peribadi termasuk mengumpul pengikut yang ramai secara “ekspres”.

Sekiranya anda terlihat akaun Instagram atas nama Siti Aafiyah, jangan mudah terpedaya. Sama-sama kita tunggu kenyataan daripada Siti sendiri sekiranya dia dan suami telah membuka akaun media sosial untuk cahaya mata kesayangan mereka ini. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen