Hiburan Sensasi Viral

Mat Dan Kesal Serangan Pengganas, Cemari Kesucian Ramadan

Di bulan Ramadan ini, semakin menjadi-jadi pula kes serangan pengganas terhadap orang awam.

Serangan di Manchester United hinggalah yang baru berlaku semalam di London, memberi gambaran bahawa pengganas langsung tidak menghormati bulan yang mulia ini.

Apa yang menyedihkan, mereka menggunakan nama Islam bagi menghalalkan serangan yang tidak berperikemanusiaan.

Kejadian ini mendapat perhatian dan kecaman daripada selebriti dan pengacara berasal dari England yang fasih berdialek Terengganu, Mat Dan atau nama Islamnya, Kareef Daniel Abdullah.

Dia memuat naik satu gambar surah Al Maidah ayat 32 di Instagramnya yang bermaksud “bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

Dalam kapsyen yang disertakan bersama gambar, menurut Mat Dan sepatutnya dalam bulan Ramadan kita diajar untuk menahan diri daripada semua godaan dan rasa marah.

Tambahnya, pengganas telah merosakkan maksud sebenar Islam dengan ideologi radikal yang menyebabkan kebencian seluruh dunia.

Ramadan adalah masa untuk merenung kehidupan dan cuba perbaiki diri serta mendekatkan diri kepada Allah.

Jelasnya lagi, surah di atas adalah salah satu surah yang membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam empat tahun lalu.

Jadi kepada sesiapa yang melakukan serangan tersebut, mereka bukanlah Islam sejati kerana telah membunuh orang yang tidak bersalah. –KLICK.MY