Hiburan

Masalah Kewangan Punca Perniagaan Pakaian Yuna Zarai Ditutup

PENYANYI antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna membuat pengumuman penutupan perniagaan pakaiannya, November Culture (NC) semalam di media sosial.

Menurut Yuna, walaupun berat hati untuk membuat keputusan tersebut tetapi ia terpaksa dilakukan kerana sudah tidak mampu menampung perbelanjaan untuk operasi butiknya itu.

Butik yang terletak di Subang jaya itu sudah enam tahun beroperasi.

“Saya sangat sayangkan perniagaan itu namun disebabkan beberapa faktor tertentu, saya sudah tidak mampu menampung perbelanjaan untuk meneruskannya.

“Meskipun sebelum ini pernah cuba mengubah hala tuju kreatif untuk mendapat keuntungan cepat demi menyelamatkannya, kini saya sudah tidak mampu melakukannya,” tulisnya.

Yuna bagaimanapun berbangga dengan usaha kebanyakan dibuat sendiri demi kelangsungan perniagaan itu dan bersyukur dapat menimba banyak pengalaman.

“Saya sudah melakukan yang terbaik. NC berdiri sendiri, tiada pelabur, tiada sokongan sampingan cuma dijalankan saya bersama beberapa orang.

“Saya merasai keindahan dan kekecewaan mengenai perniagaan itu yang menjadikan saya insan lebih baik. Terima kasih terhadap sokongan kepada NC selama ini,” katanya.

Yuna kini berpangkalan di Los Angeles, California, Amerika Syarikat sebagai penyanyi sepenuh masa.

Rezeki ada di mana-mana. Walaupun perniagaannya sudah tutup, pengalaman sepanajang enam tahun itu pasti memberikannya banyak ilmu tentang dunia perniagaan. –KLICK.MY