Gaya Hidup

Malang Warga Emas, Tangan Mereput Akibat Makan Susyi

SEBUT sahaja susyi pasti terbayang makanan yang diperbuat daripada nasi dan pelbagai bahan seperti ikan mentah di atasnya.

Makanan yang berasal dari Jepun itu memang popular di seluruh dunia. Namun, malang bagi seorang lelaki warga emas apabila terpaksa menerima hakikat bahawa dia kini kudung tangan selepas tangannya terpaksa dipotong akibat mereput kerana makan susyi.

Lelaki berusia 71 tahun dari Korea Selatan itu dijangkiti bakteria yang berpotensi mematikan kulit sehingga menyebabkan lepuh dan kulit di tangannya bertukar kehitaman selepas 12 jam menikmati makanan tersebut.

Jangkitan bakteria itu amat teruk sehingga tangannya terpaksa dipotong 25 hari kemudian.

Pasukan perubatan mengeringkan lepuh pada tapak tangannya sebelum memutuskan tangannya tidak dapat diselamatkan kerana kulitnya sudah mula mereput.

Lelaki itu bertemu doktor di Jeonju, Korea Selatan selepas mengalami kesakitan melampau di pergelangan tangannya selama dua hari.

Doktor mengesahkan dia dijangkiti vibriosis yang berpunca daripada bakteria Vibrio vulnificus.

Malah lelaki tersebut turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Ulser di tangannya menyebabkan nekrosis iaitu kematian tisu hidup yang boleh merebak dan menyebabkan kecederaan kekal.

Akhirnya doktor terpaksa memotong lengan kirinya untuk menghalang tisu yang mereput daripada merebak ke bahagian lain.

Pasukan perubatan berkata pesakit itu beransur pulih selepas pembedahan dan dibenarkan pulang ke rumahnya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.