Luar Negara Terkini

Bagai Adegan Filem, Penumpang Wanita Maut ‘Disedut’ Keluar Pesawat

IBARAT adegan dalam filem, seorang wanita maut selepas ‘terjuntai’ di luar tingkap dan hampir disedut keluar apabila pesawat yang dinaiki meletup enjinnya di udara sebelum berjaya mendarat dengan selamat.

Ibu kepada dua anak, Jennifer Riordan, 43, menaiki penerbangan pulang ke Dallas dari New York ketika enjin kiri pesawat meletup menyebabkan puing terpelanting terkena tingkap di sebelah tempat duduknya.

Beberapa penumpang lain bergegas menahannya daripada disedut keluar.

Jennifer dikejarkan ke hospital sebaik juruterbang melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Philadelphia pada jam 11.27 pagi semalam (waktu tempatan).

Pihak berkuasa kemudian mengesahkan Jennifer maut akibat kejadian itu.

Menurut seorang penumpang yang juga saksi kejadian, Eric Zilbert, dia melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana wanita malang itu berada di luar pesawat dari pinggang ke atas.

“Dia terjuntai di luar pesawat dari pinggang ke atas. Penumpang berusaha menariknya masuk dan menutup lubang tingkap berkenaan sebelum memberikan bantuan kecemasan,” katanya.

Dalam kejadian itu, tujuh penumpang lain turut cedera ringan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen