Hiburan Sensasi Terkini Viral

Mak Cun Bakal Beraksi Di Pentas Minggu Fesyen Couture New York

Jenama Mak Cun oleh pengarah terkenal Erma Fatima maju setapak lagi ke pentas antarabangsa apabila menjadi satu daripada tiga jenama pakaian yang akan menyertai Couture New York Fashion Weeks 2017 September depan.

Mak Cun bakal memperagakan pakaian rekaannya bersama dua pereka lain iaitu Eja Shahril dan Sara J dalam program Malaysia Fashion & Bussiness Mission to New York.

Program itu dilancarkan oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan dan Profesyen atau lebih dikenali dengan Peniagawati.

Presiden Peniagawati, Dato’ Azlin Ahmad Shaharbi berkata, misi itu disertai oleh 35 usahawan yang berdaftar dengan Peniagawati dari pelbagai bidang yang akan membawa produk buatan Malaysia termasuk fesyen, food & beverage dan lifestyle.

Menurut Azlin, pertunjukkan fesyen itu berlangsung selama tiga hari dan dihadiri pereka dari seluruh dunia dan slot bagi tiga pereka fesyen tersebut pada 8 September bermula 8 malam.

“Saya dimaklumkan, platform tersebut sebelum ini digunakan pereka fesyen terkenal Indonesia, Dian Pelangi sebelum jenama itu menjadi tersohor.

“Tiada pereka dari Negara kita pernah menyertai pertunjukan fesyen tersebut dan tiga pereka yang akan dibawa Peniagawati merupakan yang pertama dari Malaysia,’’ujar beliau.

Kata beliau lagi, usaha itu selaras dengan saranan kerajaan untuk menggalakkan industry kecil dan sederhana (IKS) menceburi pasaran eksport bagi memantapkan lagi perniagaan mereka serta menyumbang kepada ekonomi Negara.

Dalam program itu Peniagawati bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membantu usahawan tersebut menembusi pasaran Amerika Syarikat.

Selain itu mereka turut mendapat penajaan daripada pengeluar kasut Nottingheels dan syarikat dobi komersil, Laundryzone serta restoran Charms Specialty Coffee.

Menurut Azlin lagi, antara aktiviti yang akan dijalankan adalah padanan perniagaan dengan pembeli dan rakan niaga yang berpotensi serta pameran produk usahawan Peniagawati.

Sementara itu, Erma Fatima yang ditemui pada majlis itu berkata, selain menyertai pertunjukan fesyen itu, dia juga akan membuat penggambaran drama Mak Cun Musim Keempat di New York. –KLICK.MY