Hiburan

Luahan Hati Erma Fatima Selepas Bekas Perdana Menteri Ditangkap

SEMALAM ramai yang terkejut dengan penangkapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (DSN).

Najib ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 3 petang semalam, di kediamannya. Menurut laporan akhbar, bekas Perdana Menteri itu akan didakwa atas lebih 10 pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Berikutan penangkapan itu, pelbagai reaksi dan luahan dilontarkan di media sosial. Selain netizen, artis juga turut meluahkan rasa dengan apa yang berlaku.

Antaranya ialah pengarah Erma Fatima yang melontarkan pandangan peribadi menerusi posting di Instagram.

Seru Erma, dia berharap netizen berhenti memperlekehkan dan menghina mantan Perdana Menteri itu.

Berikut adalah luahan hati Erma:

“Air mata aku menitis tak pasal-pasal malam ni. Sebak kerana sekian lama aku menunggu saat ini. Kerana jiwa aku makin sakit melihat bangsa aku berbalah antara satu sama lain.

“Mungkin kalian boleh mengatakan aku biadab kerana seolah berharap pada penangkapan ini. Silakan! Aku berharap penangkapan ini akan mengurangkan dosa kita semua. Dosa kita yang selama ini hidup di dalam teka teki.

“Spekulasi demi spekulasi sendiri. Hari ini kita tidak perlu lagi berteka-teki. Sejahat mana pun beliau, tercatat dalam sejarah beliaulah yang pernah memimpin negara kita satu ketika dulu. Kita tak mampu memadam sejarah.

“Walaupun perit untuk dilalui oleh keluarga DSN dan penyokong Barisan Nasional, namun aku berharap di sinilah berakhirnya segala fitnah memfitnah, tuduh-menuduh, hina-menghina, maki-memaki, dendam-memendam dan segala macam mak nenek spekulasi kita kepada beliau.

“Saat ini akan menjadi saat bersejarah buat negara kita. Saat yang bakal membuka mata seluruh rakyat dan pemimpin negara lain tanpa mengira parti politik.

“Aku hanya mampu berdoa agar Allah tunjukanlah kebenaran kepada kami semua. Kebenaran yang adil dan saksama. Kebenaran yang bakal membuka mata rakyat! Kebenaran itulah daripadaMu Ya Allah.

“Saya mohon kepada sahabat semua, hentikanlah memperlekeh dan menghina beliau. Itu bukan budaya kita. Biarkan undang-undang menentukan segalanya.

“Saya percaya atas izin Allah penangkapan ini akan membuka segala kebenarannya. Saya berkata kata bukan atas nama Barisan Nasional, UMNO, Pakatan, Pas atau parti apa pun. Saya berkata-kata sebagai seorang manusia kepada manusia lain,” tulisnya.

Benar apa yang diperkatakan oleh Erma ini. Biarlah undang-undang yang menentukan sama ada DSN bersalah atau tidak. Kita tunggu sahaja keputusannya nanti. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.