Hiburan Terkini

Linda Rafar Dedikasi Single ‘Satu Lagi’ Buat Arwah Anak

KALI terakhir penyanyi Linda Rafar yang juga bekas anggota kumpulan Elite ini muncul dengan single adalah menerusi Hak Milik Kekal duet bersama adiknya, Diana Rafar kira-kira lapan tahun lalu.

Selepas itu, Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar, 40, lebih banyak memberi fokus kepada keluarga dan perniagaan diusahakan.

Sepanjang tempoh itu, Linda pernah menarik perhatian mengenai kisah rumah tangganya dengan pelakon, Syed Aiman yang dikatakan bergolak.

Namun, seperkara yang paling tidak boleh dilupakan Linda apabila dia diuji dengan kehilangan anaknya, arwah Memen atau Rezaimin Keifli pada 5 Julai 2014.

Image result for memen meninggal dunia linda rafar

Selepas empat tahun, Linda muncul semula dengan menghadirkan buah tangan baru iaitu single Satu Lagi yang didedikasikan buat arwah anaknya itu.

“Idea menghasilkan single selepas arwah meninggal dunia. Namun, ketika itu saya tidak ada kekuatan lagi. Diakui saya masih meratapi pemergian Memen. Malah, saya pernah cakap pada diri sendiri untuk berhenti terus daripada industri.

“Saya tidak mahu bercampur dengan masyarakat dan ingin buang semua media sosial. Pendek kata, saya masih tidak boleh menerima ketentuan Allah ini. Saya terlalu emosi sehinggakan hampir setiap masa bersedih.

“Namun, atas nasihat keluarga, rakan dan ustaz, saya tidak boleh berterusan begitu. Allah tidak suka kita meratap pemergian seseorang sebaliknya perlu reda. Alhamdulillah, selepas itu saya dapat semula kekuatan,” katanya.

Menurut Linda, lagu ciptaan Edry itu tidak memberi fokus sepenuhnya kepada arwah Memen tetapi sesuai untuk mereka yang mengalami nasib sama seperti dirinya.

Linda berkata, dia juga ingin masyarakat menghayati lagu dan lirik yang diketengahkan dalam lagu itu.

“Pada mulanya, lagu ini nak beri fokus sepenuhnya kepada arwah Memen. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan Edry, dia menyarankan lagu ini boleh didengar semua golongan. Jadi, dia ketengahkan sedikit unsur ‘catchy’. Namun, mesej yang disampaikan masih kekal.

“Lirik lagu ini sesuai untuk sesiapa saja yang kehilangan orang tersayang. Kalau boleh, biar yang mendengar lagu ini merasai perasaan sama seperti saya. Dalam erti kata lain, saya tidak mahu lagu ini sekadar syok sendiri,” katanya.

Menariknya juga, lagu yang bakal dilancarkan bulan depan ini adalah kerjasama antara syarikat Linda, Double Channel Sdn Bhd dengan KRU Music.

Selain lagu itu, dalam bulan sama Linda juga bakal menerbitkan novel Menunggumu Di Pintu Syurga 2 iaitu kesinambungan daripada siri pertama yang diterbitkan tahun lalu.

“Sejujurnya saya tidak menjangka novel pertama mendapat sambutan baik. Saya difahamkan novel ini terjual 150,000 unit. Ketika itu, ramai buat permintaan supaya novel ini ada kesinambungan.

“Alhamdulillah, siri kedua dalam proses percetakan. Kali ini, saya buat sendiri dari awal sampai habis. Saya belajar daripada pengalaman novel pertama,” katanya.

Menurut Linda, sebahagian hasil penjualan novel ini akan disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Sekiranya siri kedua ini berjaya lagi dan ada untung lebih, saya memang niat untuk membantu orang susah. Sebagai permulaan, saya cetak 10,000 unit.

“Siri kedua ini bercerita lebih terperinci mengenai kehidupan arwah Memen sebelum dia meninggal dunia. Saya juga bercerita tanda-tanda Allah nak ambil Memen tanpa saya sedari. Begitu juga mimpi yang saya lalui. Semuanya diceritakan dalam novel ini,” katanya. –KLICK.MY

Sumber: Harian Metro

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen