Semasa Viral

Lepas Papan Tanda.. Deme Panjat Kren!

APAKEHEY..? Selepas viral isu 8 remaja memanjat papan tanda IPOH bagi menyambut tahun baru, kini muncul isu terbaharu seorang lelaki dicari polis kerana memanjat kren di sebuah tapak pembinaan.

Kejadian yang juga berlaku di bandar raya Ipoh ini mencuri perhatian ramai selepas aksi lelaki berkenaan viral di media sosial sejak semalam.

Menerusi video berdurasi satu minit 22 saat, seorang lelaki dirakam memanjat kren tanpa sebarang peralatan keselamatan sambil mengambil gambar swafoto.

Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu membahayakan diri sendiri serta Seksyen 447 iaitu menceroboh.

31 Disember lalu, 8 remaja berusia antara 20 hingga 24 tahun mencuri perhatian ramai apabila merakamkan aksi berani di atas papan tanda Ipoh di Jalan Kuala Kangsar sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi netizen terutama yang menyelar mereka kerana mengabaikan aspek keselamatan diri.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 5 lelaki dan 3 perempuan kemudiannya tampil memberi keterangan kepada pihak polis Isnin lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Difahamkan, remaja berkenaan memanjat papan tanda gergasi Ipoh menggunakan laluan di tokong berhampiran yang jarang digunakan kecuali oleh pekerja majlis perbandaran untuk membuat penyelenggaraan pada tanda tersebut.

Kesemua remaja terbabit disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali.