Viral

Lelaki Tunjuk Isyarat Lucah Pada Promoter Minuman Keras Minta Maaf

BARU-BARU ini tular di media sosial satu video menunjukkan seorang lelaki Melayu memarahi seorang promoter pasar raya berbangsa Cina yang didakwanya cuba mempromosikan minuman keras kepada orang-orang Islam.

Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Edi Rejang bertindak keterlaluan apabila menunjukkan isyarat lucah kepada promoter perempuan berkenaan selain memarahinya kerana menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu ketika berkomunikasi dengannya.

Tindakannya itu menyebabkan dia dikecam teruk oleh netizen yang menyifatkannya sebagai memalukan dan bersifat perkaumanan.

Susulan kecaman bertubi-tubi itu, akhirnya Edi tampil melalui satu video memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya yang dikenali sebagai Edi Rejang ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada promoter perempuan tersebut.

“Saya akui kesalahan saya dan amat menyesal atas tindakan saya terhadap promoter tersebut. Saya berharap isu ini tidak lagi dipanjangkan oleh mana-mana pihak memandangkan saya telah pun bertemu dengan YB Lim Lip Eng, (DAP-P114 Kepong) dan telah membuat permohonan maaf kepada pihaknya.

“YB Lim juga menyatakan akan membuat satu perjumpaan dengan promoter perempuan tersebut secepat mungkin. Sekian, terima kasih,” katanya melalui klip video berdurasi 45 saat itu.

Semoga kes ini dapat dijadikan pengajaran buat semua. Sebagai rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum, sama-samalah kita menghormati adat, kepercayaan dan agama masing-masing. –KLICK.MY