Sensasi Terkini Viral

Lelaki Tolong Kumpul Dana Terharu Terima Derma RM24,850

Terharu dan bersyukur! Tiada kata-kata lain untuk menggambarkan perasaan seorang lelaki yang berusaha membantu pasangan penoreh getah mendapatkan dana pembedahan jantung anak mereka menerima derma berjumlah RM24,850 dalam satu transaksi secara online semalam.

Sayuti Wan Chik, penaung Pertubuhan Kebajikan Sahabat Uwais atau #sahabatuwais berulangkali melafazkan syukur dan terima kasih kepada penderma berkenaan yang mencukupkan RM60,000 pengumpulan #danaFarissa yang dimulakannya 10 hari lalu, iaitu 12 Mei 2017.

Sayuti memuat naik `screenshot’ perbualan mesej antara dia dan dermawan berkenaan yang memohon identitinya dirahsiakan daripada umum serta bukti transaksi derma itu yang menjadi tular di Facebook semalam.

“Allahuakbar. Allahuakbar. Saya tak tau nak update macam mana bila mana ada seorang hamba Allah ni cukupkan dana berbaki RM24,850 yang baru dikemaskini tadi. Saya hanya mampu menangis dan sujud syukur.’’, kata Sayuti menerusi akaun Facebook miliknya.

Penderma berkenaan hanya berharap derma yang sedikit itu diterima Allah S.W.T dan semoga urusan Sayuti dan keluarga Nur Farissa dipermudahkan Allah. Beliau juga mendoakan Sayuti dan keluarganya diberikan syurga tanpa hisab kerana telah menolong golongan kurang bernasib baik mendapatkan dana.

Nur Farissa disahkan mengalami Ventricular Septal Defect (VSD) selain selalu mengalami jangkitan paru-paru yang menyebabkan  perkembangannya lambat seperti tidak dapat duduk dengan baik dan berjalan.

Ibu dan bapa kanak-kanak itu, Ahmad Roshidi Bin Bakar dan Siti Halimah Binti Mohamad Ariffin bekerja sebagai penoreh getah dan Nur Farissa merupakan anak ketiga daripada tiga adik beradik.

Sayuti ketika dihubungi pihak KLICK.MY menyatakan esok dia akan segera ke Gleaneagles Medical Centre Pulau Pinang bersama keluarga Nur Farissa untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan tarikh pembedahan.

Sayuti menubuhkan Sahabat Uwais yang dinamakan sempena nama anak lelakinya, Muhammad Uwais yang lahir pada 20 September 2015 dan telah kembali ke rahmatullah pada 27 Oktober 2015 akibat sakit jantung kompleks.

Idea dan inisiatif itu tercetus dengan niat membantu kanak-kanak menghidap penyakit kronik serta aktiviti kebajikan lain.

Kesinambungan daripada itu, pertubuhan itu didaftarkan secara rasmi dengan mengekalkan nama Sahabat Uwais dalam pendaftaran pertubuhan. –KLICK.MY