Semasa Sensasi Terkini

Lelaki Terkejut Jumpa Bangkai Kucing Seakan Mumia

Seorang lelaki terkejut ketika mengubahsuai rumahnya apabila menemui bangkai seekor kucing seakan-akan mumia.

Kejadian yang berlaku di Wigan, Lancashire itu mendapat perhatian masyarakat setempat. Menurut lelaki bernama Adam White, dia mengesyaki kucing itu telah mati dan berada di situ selama 30 tahun.

 

Bangkai kucing itu ditemui di atas loteng. Pada mulanya dia ingatkan bangkai kucing tersebut hanyalah patung hiasan.

Namun, setelah didekati dan diamati, dia mula perasan sesuatu yang aneh. Setelah melihat gigi dan rusuk barulah dia menyedari bahawa itu adalah bangkai kucing yang sebenar.

Tambah Adam lagi, kemungkinan kucing itu memasuki loteng dan terperangkap di dalamnya sehingga mati.

Adam juga bertanya kepada jiran-jirannya perihal kucing tersebut namun tiada siapa yang tahu dan mengakui kucing tersebut kepunyaan mereka.

Proses mumia berlaku apabila mayat atau bangkai terdedah kepada bahan kimia tertentu, kelembapan yang rendah atau kekurangan udara yang menghalang tisu supaya tidak rosak.

Gambar mumia kucing ini telah dimuat naik oleh bapa Adam di laman Facebook namun ia mengundang kemarahan dan kejutan daripada netizen.

Mereka meluahkan rasa simpati kepada kucing tersebut dan membayangkan ia mati dalam keadaan terseksa dan perlahan-lahan.

Selain itu ada juga yang menawarkan bantuan mencari pemilik kucing berkenaan dengan mengimbas mikrocip yang ada dalam setiap haiwan peliharaan.-KLICK.MY