Jenayah

Lelaki Humban Mayat Ibu Ke Dalam Tangki Najis Berjaya Ditangkap

MISTERI kehilangan seorang wanita sejak 19 September lalu, terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam tangki najis belakang rumahnya di Sungai Burung, di sini, petang semalam.

Mangsa Faridah Mat Hashim, 63, dipercayai dibunuh anak kandungnya sendiri pada Rabu lalu, sebelum mayat wanita malang berkenaan disembunyikan di dalam tangki najis rumah mereka.

Mayat mangsa yang tenggelam di dalam tangki sedalam 1.2 meter itu ditemui menantunya kira-kira jam 2 petang sebelum menghubungi polis.

Berita menyayat hati itu mendapat perhatian masyarakat kerana tidak sangka seorang anak tergamak membunuh ibunya sendiri.

Malah, suspek dikatakan suka berkhayal dengan menghidu minyak petrol.

Dalam perkembangan terbaharu, Harian Metro melaporkan suspek berjaya ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan di Balik Pulau dan dijangka direman, esok.

“Ya, kita sudah berjaya menahan suspek kes terbabit.

“Siasatan masih dijalankan dan saya akan beri makluman lanjut kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semoga kes dapat diselesaikan segera. Sedangkan meninggi suara dengan ibu sudah berdosa besar, apatah lagi kalau membunuh insan yang melahirkan kita ke dunia. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.