Luar Negara Terkini

Lelaki Ditangkap Polis Buka Stokin Busuk Dalam Bas

PERASAAN terperangkap di dalam ruang berbau stokin busuk memang boleh buat seseorang hilang mood.

Di India, seorang lelaki bernama Prakash Kumar bertindak membuka kasut dan stokinnya di dalam bas yang sarat dengan penumpang dan bau busuk itu telah menimbulkan kekecohan serta pergaduhan besar.

Semua penumpang marah dengan tindakannya itu hingga mendesak dia menyimpan semula stokin ke dalam begnya atau mereka akan mencampakkan sahaja dia keluar dari bas yang bergerak dari Himachal Pradesh ke New Delhi itu.

Situasi biasa bas di India

Penumpang yang tidak tahan dengan bau busuk kasut dan stokin itu menjadi bertambah marah apabila Prakash enggan berbuat demikian lalu mereka menggesa pemandu bas berhenti di balai polis di Una, Himahcal Pradesh.

Ketua Polis Daerah Una, Sanjeev Gandhi memberitahu, pergaduhan menyebabkan bas itu berhenti beberapa kali sebelum tiba di balai polis berkenaan.

“Lelaki itu bukan saja mengganggu keselesaan penumpang lain dengan bau busuk stokinnya malah berlagak samseng dengan mengancam penumpang lain serta mencetuskan kekecohan di balai polis.

“Kami menahannya kerana mengganggu ketenteraman awam sebelum dia dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya.

Prakash dikatakan menaiki sebuah lagi bas untuk ke New Delhi. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen