Gaya Hidup Terkini

Lelaki Curi Tumpuan, Selamba Redah Banjir Naik ‘Motosikal’

DI SEBALIK musibah banjir yang berlaku di pantai timur sekarang, masih terdapat lagi rezeki dan rahmat yang Allah SWT turunkan.

Selain rezeki ikan datang bergolek di depan mata, ia juga rezeki untuk seorang usahawan pembekal barangan aluminium dan cermin di Kampung Bukit Tanah, Selising, Kelantan.

Idea kreatifnya menjadi tular di laman sosial apabila dia mencipta sebuah motosikal khusus untuk mengharungi banjir.

Hanya bermodalkan RM500 Amin Mohamed, 31, menggunakan imaginasi dan kreativiti tinggi hingga berjaya menyiapkan motosikal tersebut.

Menurut Amin, motosikal ciptaannya yang menggunakan enjin Honda C70 serta dilengkapi satu tayar motosikal di depan dan dua tayar kereta di belakang, mampu mengharungi banjir sedalam satu meter.

Katanya lagi, kenderaan itu belum cukup sempurna kerana penambahbaikan perlu dilakukan bagi membolehkan ia mampu mengharungi air lebih dalam.

 “Saya buat lakaran reka cipta motosikal ini atas kertas Januari lalu dan mula membuatnya sedikit demi sedikit pada waktu terluang.

“Saya hanya guna bahan terbuang dan bahan sedia ada kerana saya perlu elak kos tinggi. Ciptaan ini bukan untuk meraih keuntungan, hanya untuk kepuasan diri.

“Kalau ikutkan, motosikal ini belum siap sepenuhnya tapi saya tak sabar untuk mengujinya bila beberapa kawasan di Selising ini dilanda banjir,” katanya.

Berikutan kisah motosikalnya tular, rumahnya mula dikunjungi orang ramai yang ingin melihat sendiri kenderaan istimewa itu.

Malah, Amin menerima banyak pesanan di Facebook daripada pelbagai pihak yang berminat mengetahuinya dengan lebih lanjut.

“Motosikal istimewa itu bukan saja mampu mengharungi air, malah ia dicipta untuk aksi lasak dengan kesesuaian kepada semua jenis permukaan jalan.

“Saya akan pasang beberapa aksesori selepas ini untuk mencantikkan lagi ciptaan saya serta menambah fungsi sampingan yang difikirkan perlu,” ujarnya. –KLICK.MY

Sumber: Sinar Harian Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen