Sensasi Terkini Viral

Lelaki Berjaya Kumpul 3,000 Anak Patung Daripada Mesin Claw

Kalau anda berjalan di pusat membeli-belah pasti pernah melihat mesin yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis anak patung. Mesin yang dikenali sebagai claw machine menyediakan pelbagai jenis anak patung namun untuk mendapatkannya anda perlu memasukkan sejumlah wang syiling.

Tidak cukup setakat memasukkan wang syiling, anda juga perlu cepat dan cekap untuk ‘menangkap’ anak-anak patung tersebut mengikut masa yang telah ditetapkan. Alat seperti pencangkuk terdapat di dalamnya untuk anda ambil anak-anak patung tersebut.

Namun, ia bukanlah perkara mudah untuk dilakukan kerana ramai yang tidak berjaya. Sekiranya tidak berjaya, duit anda dikira lupus. Begitulah cara mesin tersebut beroperasi dan mengaut keuntungan.

Namun, seorang lelaki dari China berjaya membuktikan bahawa dia seorang pakar mencangkuk anak-anak patung tersebut. Buktinya, dia telah berjaya mengumpul sebanyak 3,000 anak patung dalam masa enam bulan hasil bermain mesin tersebut.

Kalau sudah begini banyaknya, pasti tuan punya mesin boleh rugi. Itulah yang diceritakan oleh lelaki yang dikenali sebagai Chen Zhitong ini. Menurutnya dia pernah diajak keluar makan oleh pemilik mesin tersebut dan memujuknya agar tidak lagi bermain mesin berkenaan.

Namun, dia tidak mempedulikan pujukan tersebut dan terus bermain. Kisah kejayaannya telah dirakam oleh Great Big Story.

Selain itu, Chen turut mendermakan 1,000 patung kepada sekolah anak-anak kurang upaya pada tahun lepas. Pasti tangannya pantas mengendalikan mesin tersebut. Tahniah kami ucapkan.-KLICK.MY