Jenayah

Lelaki Belasah Pekerja Stesen Minyak Didenda RM2,000

SEORANG peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Tapah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan seorang pekerja stesen minyak di Sungkai dekat sini tiga minggu lalu.

Berkaitan: Salah Isi Minyak, Pekerja Stesen Minyak Dipukul Hingga Cedera

Tertuduh, Muhammad Nuralif Shaufik Ahmad Fauzi ,25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd.Mazlan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ridwan Abdullah, 24, di stesen pam minyak Petronas Sungkai kira-kira pukul 12.45 tengah hari pada 6 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri manakala tertuduh diwakili peguam S. Kavitha.

Mohd. Harith turut menetapkan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut. –KLICK.MY

Sumber: Kosmo Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.