Hiburan

Lebih Setahun, Akhirnya Hafiz Hamidun Menang Saman Syarikat Tekstil

LEBIH setahun lalu, penyanyi Hafiz Hamidun telah memfailkan saman terhadap syarikat tekstil Kamdar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana salah guna namanya tanpa kebenaran pada Februari 2017.

Berkaitan: Hafiz Hamidun Berang Nama Diguna Tanpa Kebenaran

Tindakannya itu dikecam teruk oleh netizen yang menuduhnya mencari jalan mudah untuk menjadi kaya.

Namun menurut Hafiz, tindakannya itu dibuat bagi mempertahankan hak dan melindungi namanya daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Pada Selasa baru-baru ini, Hafiz melahirkan rasa lega apabila usaha untuk menegakkan haknya sebagai seorang selebriti dan usahawan tidak sia-sia apabila dia menang kes saman tersebut.

“Alhamdulillah, setelah lebih setahun akhirnya mahkamah memutuskan saya memenangi kes ini pada Selasa lalu.

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk melindungi nama saya yang sudah didaftarkan sebagai hak cipta dan trademark untuk perniagaan saya yang turut mengeluarkan beberapa produk berkaitan tekstil dan baju,” ujarnya seperti yang dilaporkan mStar Online.

Kata Hafiz lagi, dia sudah membuat rundingan cara baik dengan syarikat berkenaan namun tidak mencapai kata sepakat.

“Sebelum ke mahkamah kami cuba selesaikan di luar mahkamah dan tuntutan saya itu diabaikan oleh pihak mereka yang tetap mahu ia dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.

Iktibar daripada kes ini, menurut Hafiz usaha yang diperlekehkan itu sebenarnya menjadi pengajaran kepada semua pihak yang perlu melindungi hak mereka daripada disalahgunakan pihak tertentu.

“Saya sedar ramai netizen yang kecam dan anggap saya ‘poyo’ dan memperlekehkan usaha saya dengan menganggap saya ambil jalan mudah untuk jadi kaya.

“Terpulang kepada mereka kerana apa yang saya lakukan hanya untuk mempertahankan hak saya sahaja,” jelasnya.

Hafiz berkata, mahkamah menetapkan Julai depan bagi memutuskan nilai tuntutan kepada pihak berkenaan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.