Semasa Terkini Viral

Laungan Azan Subuh Sebanyak 2 Kali Di Surau Dan Masjid Di Pahang

Semalam, tersebar memorandum daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di laman sosial mengenai arahan laungan azan Subuh sebanyak dua kali.

Semua masjid dan surau di Pahang diarah melaksanakan laungan azan sebanyak dua kali pada waktu Subuh sepanjang Ramadan dalam usaha kerajaan negeri menghidupkan semula sunnah Nabi Muhammad SAW.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, perkara itu mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini.

“Setelah berunding dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang, ia bersetuju supaya dilaksanakan azan dua kali itu.

“MUIP juga telah mengeluarkan surat mengenai pelaksanaan itu untuk diedarkan ke masjid dan surau di seluruh negeri ini, ” katanya kepada Bernama.

Azan pertama hendaklah dilaungkan setengah jam sebelum masuk waktu Subuh disusuli dengan laungan kedua pada waktu Subuh seperti yang ditetapkan.

Selain menghidupkan semula sunnah Rasulullah, ia juga membantu mengejutkan umat Islam daripada tidur bagi membuat persediaan bersahur.

“Perkara ini juga dilaksanakan di negara-negara Arab,” katanya. –KLICK.MY

Sumber: Bernama / Sinar Harian