Viral

Langgar Peraturan, Ular Sawa Dalam Bungkusan Pos Laju

SEMALAM tular di media sosial beberapa keping gambar menunjukkan seekor ular sawa hidup dalam sebuah bungkusan Pos Laju.

Bungkusan itu dialamatkan ke blok kediaman di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan dilabel sebagai ‘kasut bola.’

Namun, difahamkan beberapa petugas Pos Malaysia membuka bungkusan berkenaan selepas terdapat benda hidup bergerak di dalamnya sebelum mendapati ia adalah ular sawa batik.

Bedasarkan ‘tracking number’ yang disemak melalui laman web Pos Laju, bungkusan itu tiba di Bayan Lepas Pulau Pinang semalam sebelum dihantar semula ke Sungai Buluh.

Justeru Pos Malaysia menyifatkan kes itu sebagai zalim dan berbahaya. Jurucakap Pos Malaysia berkata, tindakan itu juga berisiko dan mengancam keselamatan petugas Pos Malaysia dan orang awam selain menjejaskan operasi syarikat.

“Pos Malaysia ingin menegaskan bahawa perbuatan mengirim bungkusan yang mengandungi haiwan, termasuklah serangga, telur, larva, burung dan gading, adalah dilarang sama sekali.

“Untuk makluman pengguna, penghantaran sebarang barangan larangan sekiranya diketahui kakitangan kami akan ditolak penerimaannya atau, jika dikesan dalam perjalanan, akan ditahan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro Online.

Tambahnya lagi, jika berlaku kes sedemikian, barangan itu akan diuruskan dalam apa jua cara yang difikirkan wajar oleh Pos Malaysia dan dalam sesetengah kes, pengirimnya boleh didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, untuk kepastian, pengguna digalakkan membuat pertanyaan di pejabat pos atau cawangan Pos Laju bagi mengetahui sama ada pengiriman sesuatu barangan itu dibenarkan. –KLICK.MY