Hiburan Terkini

Lana Nordin, Norshila Amin Bergaduh Di Bazaar Selebriti Singapura

BEBERAPA hari lalu kecoh mengenai kisah dua artis Malaysia bergaduh di sebuah acara di Singapura. Pelbagai spekulasi timbul dan netizen mula berteka-teki siapa dua artis yang dimaksudkan.

Semalam, Berita Harian menerusi portal rasminya telah mendedahkan dua artis yang dimaksudkan itu adalah pelakon Lana Nordin dan penyanyi 80-an, Norshila Amin.

Akhbar tersebut juga berjaya mendapatkan kenyataan daripada Lana sendiri mengenai insiden memalukan itu.

Menurut Lana, dia mengaku berlaku perselisihan faham antara dia dan penyanyi yang terkenal dengan lagu Aku Sudah Jatuh Cinta tersebut.

Ia bermula ketika mereka terbabit dalam bazar selebriti yang berlangsung di Brunei sebelum ini bila mana Shila menimbulkan masalah dengan penganjur membabitkan wang.

“Saya tidak mahu campur tangan walaupun bersimpati kerana ia mengaitkan pihak penganjur. Lagipun, penganjur banyak membantu saya dan selebriti lain yang sebelum ini terlebih dulu berniaga di sana.

“Bagaimanapun saya tidak faham waktu itu dia sudah menunjukkan rasa kurang senangnya terhadap saya. Sesekali dia menyindir dan turut menjeling,” cerita Lana.

Keadaan bertambah keruh apabila mereka bertemu sekali lagi di bazar selebriti di Singapura. Lana terkejut apabila Shila berniaga berhampiran gerainya.

“Pada peringkat awal saya lihat gerainya dan gerai saya ada dalam satu baris tetapi kedudukannya agak jauh. Saya berasa lega kerana kalau boleh apabila sedang bekerja dan berniaga, saya tidak mahu timbul sebarang masalah.

“Saya cuba tidak mempedulikan dia dan pada awalnya keadaan masih terkawal. Namun, dia mula bertindak melampau apabila saya meninggalkan gerai.

“Setiap kali lalu di hadapan gerai saya, dia akan menyumpah dan ada beberapa kali juga dia menendang troli yang ada berhampiran gerai saya.

“Mungkin dia ingatkan yang menjaga gerai saya itu adalah pekerja dan tidak tahu sebenarnya gadis terbabit adalah anak saudara saya.

“Sudah tentu apabila dia bertindak demikian anak buah saya akan mengadu dan menceritakan apa yang berlaku,” katanya.

Tidak tahan dengan provokasi yang dicetuskan, Lana menarik Shila ke belakang gerainya dan memohon penjelasan.

“Pada hari terakhir saya sudah tidak boleh bersabar apabila dia masih menyindir saya. Bagi mengelakkan rasa kurang selesa orang sekeliling, saya menariknya ke belakang gerai untuk bertanya sendiri, apa yang dia tidak puas hati sehingga bertindak sedemikian rupa.

“Apatah lagi setiap kali lalu di hadapan gerai, dia menyumpah seranah dan menendang troli. Sedangkan dia tidak tahu troli terbabit bukan saya punya sebaliknya milik orang lain. Sudah tentu pemilik troli itu rasa kurang senang,” ujarnya.

Dalam pertemuan itu, kata Lana, Shila menjelaskan rasa tidak puas hatinya terhadap Lana yang kononnya menjaja cerita dan membabitkannya dengan penipuan duit beberapa selebriti yang menyertai bazar di Brunei sehingga penganjur turut terkena tempias.

“Saya jelaskan kepadanya bahawa bukan saya yang sebarkan cerita itu sebaliknya semua selebriti yang terbabit dalam bazar di Brunei tahu apa yang berlaku.

“Malah mereka bercerita sesama sendiri. Saya ada bukti untuk menyangkal tuduhan itu termasuklah perbualan bersama penganjur mengadu masalah yang ditimbulkannya. Dia juga mengugut mahu menyaman saya.

“Terus terang, saya tak gentar kerana ada bukti. Malah penganjur di Brunei bersedia untuk tampil sebagai saksi bagi menjelaskan masalah yang ditimbulkan Norshila,” terangnya.

Penjelasan tersebut memberi sedikit gambaran apa yang berlaku. Namun, tidak adil kalau hanya mendengar penjelasan daripada sebelah pihak sahaja.

Kita tunggu pula penjelasan daripada pihak Shila yang juga katanya akan mengadakan sidang media bagi memperjelaskan situasi antaranya dengan Lana.

Apapun, harap mereka dapat selesaikan masalah tersebut secara baik. Tidak guna dipanjangkan kerana ia memberi gambaran buruk kepada artis itu sendiri. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen