Hiburan Terkini

Lagi Dua Minggu, Siti Nurhaliza Bakal Bersalin Secara Pembedahan

PENYANYI nombor 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal melahirkan anak sulungnya lagi dua minggu secara kaedah pembedahan atas nasihat doktor kesuburan yang merawatnya selama ini.

Menurut aktres yang mesra dipanggil Siti, selain faktor usianya, bayi yang dikandung menggunakan kaedah In Vitro Fertilization (IVF) sepertinya biasa dilahirkan secara pembedahan.

“Bagaimanapun, ada juga kes sebegitu menyaksikan kelahiran secara normal.

“Siti ikut saja apa nasihat doktor, selain mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Apapun caranya, harapan Siti proses kelahiran dipermudahkan,’’ ujarnya.

Menurut Siti, insan yang paling teruja dan tidak sabar menanti kehadiran si comel mereka adalah suaminya Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa.

“Suamilah insan paling teruja membuat persediaan, terutama dari segi hiasan bilik bayi.

“Lif pun sudah siap dan ia dibina bukanlah bagi kegunaan Siti saja, tetapi untuk orang lain juga seperti ibu serta ibu mentua,” katanya.

Mengulas kemunculan single terbarunya pula, pemenang Anugerah Seri Perak, Anugerah Bintang Popular BH 2011 ini berkata, Mac dipilih sebagai detik pelancaran lagu berkenaan sejajar dengan tarikh beliau bakal bergelar ibu.

“Sekurang-kurangnya, ada juga kenangan untuk Siti dan bayi pada kemudian hari. Ia juga ibarat serampang dua mata kerana lagu berkenaan diharap dapat mengubat rindu peminat sepanjang tempoh Siti berpantang nanti,” katanya.

Lagu ciptaan Siti dan lirik oleh Rozi Sangdewi itu boleh didapati di semua platform digital mulai hari ini. –KLICK.MY

Sumber: Berita Harian

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen