Hiburan

Kurang Terima Undangan Nyanyian, Shima Berniaga Warung Tepi Jalan

NAMANYA pernah gemilang sekitar 1990-an apabila lagu berjudul Teringin dan Setelah Aku Miliki menjadi siulan ramai ketika itu.

Namun pada awal tahun 2000 nama Shima atau nama penuhnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman semakin pudar kerana tidak lagi aktif menyanyi.

Setelah lama menyepi, dia muncul semula selepas menyertai Gegar Vaganza musim pertama (GV1) pada 2014.

Namun, penyertaannya itu tidak seperti yang diharapkan kerana selepas program itu tamat, namanya kembali senyap dan tidak banyak menerima undangan nyanyian.

Bagi membantu ekonomi keluarga, Shima dan suami turut memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi campur.

“Sebenarnya idea untuk memulakan perniagaan sudah lama difikirkan. Dahulu saya sering masak untuk rakan-rakan dan mereka memberi sokongan untuk saya memulakan perniagaan. Tetapi, dek kerana kekangan waktu niat tersebut tidak pernah menjadi.

“Malah, rencana untuk membuka restoran juga tidak berlaku. Banyak proses yang perlu dilakukan dan saya tidak jumpa rakan niaga yang sesuai.

“Sekarang rasanya masa yang tepat untuk memulakan perniagaan. Saya hanya berniaga secara kecil-kecilan. Jika usaha ini menjadi, siapa tahu satu hari nanti impian untuk membuka sebuah restoran akan tercapai,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia Online.

Bagi sesiapa yang berminat merasai air tangan Shima, boleh datang ke warungnya yang diberi nama Warung Teringin di hadapan Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, Selangor. –KLICK.MY

Foto: Utusan Malaysia Online

Tag