Hiburan Terkini

Ku Rela Dibenci Terima Pengiktirafan Malaysia Book Of Records

KETIKA mula-mula lagu ini kedengaran di corong radio, ramai tertanya-tanya siapakah gerangan yang menyanyikan lagu berjudul ‘Ku Rela Dibenci’ ini.

Semakin hari lagu yang dinyanyikan oleh pendatang baharu, Aiman Tino kian mendapat sambutan luar biasa. Mungkin melodinya dekat dengan telinga pendengar jadi ia terus mendapat sambutan.

Walaupun ada segelintir pihak yang cuba menidakkan kehebatan lagu tersebut namun peminat tetap kuat menyokongnya.

Jadi, tidak hairanlah lagu tersebut bukan sahaja mendapat jumlah tontonan tertinggi di laman YouTube malah yang terbaharu, ia mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records.

Menurut Aiman dalam temubualnya bersama mStar Online, dia terharu dengan pengiktirafan tersebut dan tidak sangka lagu itu akan mendapat sambutan luar biasa.

“Tak sangka dan terkejut apabila dimaklumkan lagu tersebut tersenarai sebagai lagu paling banyak tontonan.

“Lagu itu sendiri sangat bermakna dalam hidup saya kerana di situlah bermulanya karier saya sebagai penyanyi,” katanya.

Sehingga kini, lagu ciptaan kedua ibu bapanya iaitu Yusri dan Riena itu telah mendapat lebih 42 juta tontonan di YouTube.

Majlis penyerahan sijil penghargaan atas kecemerlangannya itu akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 16 Januari ini.

Tahniah Aiman, semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada penyanyi lain. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen