Hiburan Sensasi Terkini

KRU Bubar, Edry Mahu Berhijrah Ke Luar Negara Demi Anak Autisme

RAMAI yang terkejut dengan pembubaran kumpulan trio adik-beradik, KRU. Pengumuman itu dibuat ketika sidang media sempena konsert Gergasi KRU25 semalam.

Kumpulan popular yang dianggotai oleh tiga adik beradik iaitu Datuk Norman, Yusry dan Edry mengumumkan pembubaran kumpulan itu selepas konsert terakhir mereka yang bakal berlangsung pada 6 Mei ini.

Ketua kumpulan, Norman berkata, keputusan tersebut merupakan kata sepakat di mana ketiga-tiga mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk meneruskan kerjaya masing-masing.

Sementara itu, mStar Online melaporkan salah seorang daripada mereka iaitu  Edry mahu berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan pembelajaran yang terbaik untuk anak ketiganya, Emery yang merupakan anak autisme.

“Malaysia tiada sekolah khas untuk austisme dan anak ketiga saya itu sudah nak masuk 11 tahun namun masih belum boleh bercakap. Cikgu di sekolahnya suruh kami hantar ke sekolah lain.

“Perkara itu buat saya berfikir bahawa saya gunakan banyak masa ajar orang menyanyi tapi anak sendiri masih tak boleh bercakap. Penghijrahan itu untuk anak-anak,” ujarnya yang mempunyai empat cahaya mata.

Menurut Edry lagi, dia merancang untuk ke Eropah selepas Hari Raya Aidilfitri bagi mencari sekolah paling sesuai untuk anaknya itu.

“Sepatutnya sehari selepas konsert kami akan ke Eropah tapi terpaksa ditangguhkan mungkin selepas hari raya nanti.

“Insya-Allah kita cuba setahun dahulu dan tengok perkembangan sama ada dia boleh terima atau tidak,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang tertentu untuk pencapaian dirinya.

Konsert Gergasi 25 KRU akan berlangsung pada 4 hingga 6 Mei depan di Istana Budaya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.