Hiburan

Kongsi Pandangan, Siti Nurhaliza Cadang Majlis Seni Negara Diwujudkan

SEMALAM, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dijemput berkongsi pandangan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) berkenaan dengan industri hiburan tanah air.

Dalam pertemuan selama sejam itu, Siti berkongsi pengalamannya mengenai senario industri hiburan dari pelbagai perspektif bagi memberi gambaran yang jelas kepada panel MPK.

Siti juga mengambil kesempatan mencadangkan agar Majlis Seni Negara diwujudkan.

Menurut pelantun lagu Cindai ini, harapan beliau melalui penubuhan badan itu, setiap isu dilalui anak seni dapat didengari dan sekali gus mendapat perhatian daripada kerajaan memandangkan industri seni juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara menerusi duti hiburan.

Siti dikerumuni pihak media sebaik sahaja selesai pertemuan bersama panel MPK.

Selain itu, antara buah fikiran yang dikongsi Siti dengan panel majlis berkenaan ialah sistem kutipan royalti yang lebih efektif serta peruntukan dana yang sewajarnya untuk disalurkan kepada karyawan seni bagi meningkatkan kerjaya masing-masing.

Antara panel MPK yang mendengar pandangan Siti ialah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram.

Berkongsi pengalaman dalam sesi perkongsian idea itu, Siti berkata, beliau berasa sangat gembira kerana berpeluang membentangkan aspirasi dan pandangan mengenai usaha membangunkan industri hiburan.

“Saya gembira kerana ada yang mahu mendengar pandangan serta idea untuk menambah baik dalam apa sahaja bidang bukan sahaja bidang seni,” katanya.

Selain Siti, wakil karyawan seni lain yang turut berkongsi pandangan dengan MPK ialah sarjana serta pengulas filem dihormati, Hassan Muthalib, bekas Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman, penyair, penulis, penterjemah dan budayawan, Eddin Khoo serta aktivis teater ternama, Jo Kukathas. –KLICK.MY

Sumber: Utusan Online

 

 

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.