Hiburan Sensasi Terkini

Khai Bahar Rakam Muzik Video Single Kedua Di London

Wah, bukan main lagi penyanyi yang terkenal menerusi aplikasi Smule, Khai Bahar! Sampai ke London dia membawa diri semata-mata mahu merakam video muzik untuk single keduanya.

Inilah orang kata untung sabut timbul untung batu tenggelam. Dari orang biasa kini Khai dikenali malah muzik video single keduanya yang berjudul Dari Jauh Saja sudah menerima  dua juta lebih tontonan di YouTube.

Patutlah jauh sangat dia merantau tajuk lagu pun lebih kurang sama maksudnya. Menurut Khai, tujuan asalnya ke London untuk bercuti.

“Ada adegan yang terkandung dalam muzik video tersebut saya rakamkan di London. Saya ke London sekitar hujung tahun lalu untuk bercuti. Alang-alang sudah ke sana, saya juga turut menjalankan penggambaran untuk muzik video.

“Alhamdulillah, saya sangat terharu dengan penerimaan peminat yang tidak henti-henti menyokong kerjaya nyanyian saya. Selepas single Bayang, Dari Jauh Saja juga menerima maklum balas yang sangat baik.

“Lagu ini merupakan hasil ciptaan Denny Mojo dan telah disimpan selama lapan tahun,” ujar pemuda ini.

Selain itu, Khai juga dalam perancangan untuk menghasilkan single ketiga sekitar Jun atau Julai nanti.

Apa-apapun tahniah buat Khai kerana tercalon dalam Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) menerusi dua kategori iaitu Penyanyi Paling MeleTOP dan Artis Baru MeleTOP.-KLICK.MY

Sumber: Astro Gempak