Hiburan

Khabar Angin Tentang Anita Sarawak Tidak Benar-Noorkumalasari

PADA malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 31 (ABPBH31) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Ahad lalu menyaksikan pelakon Noorkumalasari dianugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Kesempatan bertemu dengan Noorkumalasari, pihak media tidak melepaskan peluang untuk bertanya khabar tentang keadaan Anita Sarawak yang juga kakak kepada pelakon Adik Manja ini.

Sedia maklum, beberapa bulan lalu timbul gosip mengatakan Anita kini mendapatkan rawatan penyakit kanser di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Berkaitan: 7 Tahun Hilangkan Diri, Anita Sarawak Dikatakan Menderita Sakit Kanser?

Manakala tahun lalu, heboh pula kisah mendakwa Anita kembali menetap di Singapura selepas seorang peminat dikatakan terserempak dengannya di sebuah restoran makanan segera yang agak terpencil di Ang Mo Kio.

Menjawab persoalan pihak media, menurut artis yang popular pada era 1980-an ini, kakaknya itu mahu menjalani kehidupan seperti orang biasa.

Walaupun Anita tidak menghubunginya namun dia masih mengetahui tentang keadaan penghibur bertaraf superstar itu melalui adik-beradik yang lain.

“Sebenarnya Anita mahu menjalani kehidupan seperti orang biasa. Dia tidak mahu lagi hidup sebagai orang yang dikenali.

“Saya tahu keadaan dia pun daripada kakak saya. Dia tak hubungi saya sebab tahu media akan mencari dan bertanya tentangnya pada saya,” katanya seperti dilaporkan mStar Online.

Dalam pada itu, Noorkumalasari meminta semua pihak tidak mempercayai berita tentang perkembangan terbaharu Anita Sawarak.

Menurutnya, senua berita mengenai kakaknya itu tidak benar sama sekali.

“Semuanya tidak benar. Anita dan Mahathir masih lagi bersama dan tidak pernah bercerai seperti yang diperkatakan ramai.

“Keadaan kesihatan Anita juga baik dan dia sihat sahaja. Berita mengenai dia mengidap kanser itu juga tidak betul,” tegasnya.

Anita menghilangkan diri sejak pertengahan 2011 selepas dikatakan merajuk dengan sebuah stesen TV. Tujuh tahun sudah berlalu, kehilangan Anita terus menjadi tanda tanya. –KLICK.MY