Hiburan

Kemukakan Bukti Sekiranya Benar, Wings Jawab Tuduhan Anak Luar Nikah

BARU-BARU ini dunia hiburan tempatan gempar apabila seorang wanita membuat pendedahan media dengan mendakwa dirinya hamil lima bulan selepas menjalinkan hubungan sulit bersama pemuzik sebuah kumpulan rock.

Dia menegaskan terpaksa membuat pengakuan terbuka berikutan lelaki terbabit enggan bertanggungjawab atas perbuatannya.

Kumpulan rock yang dimaksudkan oleh wanita terbabit ialah kumpulan Wings. Bertindak balas dengan dakwaan tersebut, Wings mencabar wanita yang mendakwa dihamilkan seorang pemuzik sebuah kumpulan rock supaya menunjukkan bukti jika yakin dirinya berada di pihak benar.

Vokalisnya, Datuk Azhar Othman atau Awie, berkata pihaknya juga takkan teragak-agak untuk membuat laporan polis andai nama anggota Wings dikaitkan bagi mengelakkan tempias fitnah.

Awie mendakwa, wanita berkenaan seakan-akan mempunyai agenda tertentu apabila menyembunyikan wajah di sebalik purdah, namun menghamburkan cerita yang belum tentu kesahihannya.

“Tunjukkan bukti kalau anda benar. Dedahkan juga identiti diri. Jangan sorokkan muka di sebalik niqab itu. Dia buat-buat cerita seolah-olah ini zaman jahiliah.

“Kalau gagal merebut cinta pun, jangan musnahkan kerjaya orang. Kami pun boleh buat laporan polis sebab ia tuduhan melampau,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Begitupun, Awie menegaskan akan menggesa individu dimaksudkan menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya jika terbukti dakwaan itu benar.

“Saya sendiri akan mendesak orang itu (untuk bertanggungjawab) kalau betul ada bukti kukuh. Sekiranya benar, kita cuba selesai secara baik. Manusia mana yang tak melakukan kesilapan?” katanya lagi.

Betul kata Awie, setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Kalau benar sebagaimana yang didakwa, selesaikan ia secara baik. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.