Hiburan Terkini

Kematian Sridevi: Bukan Serangan Jantung Tetapi Lemas

PELAKON legenda Bollywood, Sridevi Kapoor bukanlah mati kerana serangan jantung seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Beberapa hari lalu, dunia dikejutkan dengan kematian mengejut pelakon berusia 54 tahun itu ketika dia bersama suami serta anak-anak berkunjung ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu bagi menghadiri satu majlis perkahwinan.

Berkaitan: Pelakon Bollywood, Sridevi Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

Asalnya beliau didakwa mati akibat serangan jantung ketika di sana.

Namun, siasatan perubatan menunjukkan kemungkinan wujud unsur jenayah apabila mendapati pelakon itu sebenarnya menemui ajal kerana lemas di kamar mandi bilik hotelnya.

Penemuan terbaharu itu membuatkan proses penghantaran pulang mayat Sridevi ke India yang pada asalnya dirancang pada semalam, terpaksa dilengahkan.

Media Dubai melaporkan, analisis bedah siasat sudah disiapkan dan punca kematian dikenal pasti.

“Kes berkenaan diserahkan kepada pihak pendakwa dan ia adalah proses perundangan biasa,” lapor Gulf News.

Agensi berita itu juga menyatakan maklumat berkenaan punca kematian Sridevi sudahpun diserahkan kepada keluarganya serta konsulat India di Dubai.

Pada masa sama, Gulf News melaporkan bahawa pihak berkuasa sana meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kematian Sridevi.

Jurucakap polis berkata bedah siasat menemui kesan alkohol dalam tubuh Sridevi dan tidak menolak kemungkinan ia turut menjadi punca aktres terbabit tidak sedarkan diri sebelum menemui ajal. –KLICK.MY