Jenayah

Kematian Budak Lelaki 10 Tahun Akibat Didera Ibu Kandung Dikenal Pasti

KES dera terhadap kanak-kanak dilihat semakin menjadi-jadi. Apakah dosa dan salah anak kecil hingga sanggup diperlakukan sedemikian?

Orang ramai baru sahaja digemparkan dengan kes kematian bayi berusia lima bulan di rumah pengasuh dan terbaharu, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia didera ibu kandung sendiri!

Berkaitan: “Adam Rayqal Tunggu Kami Di Syurga”-Pesanan Terakhir Bapa Mangsa

Muhammad Luthhakim Abdullah meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya di Taman Permatang Badak Maju, Kuantan, Pahang.

Keadaan mangsa ketika mayatnya diperiksa pasukan perubatan sangat menyayat hati kerana dia bukan sahaja mengalami kecederaan melecur pada kemaluan malah mempunyai kesan lebam pada pergelangan kaki, belakang badan, pinggang, punggung dan ketiak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, hasil bedah siasat mendapati keadaan itu berkemungkinan oleh faktor salur darah pecah atau berlaku ulser pada esofagus.

“Ini berkemungkinan oleh stress atau force trauma, selain terdapat banyak kesan parut lama dan luka baru di bahagian kepala dan seluruh anggota badan mangsa yang berkemungkinan adalah kerana didera.

“Mangsa yang merupakan pelajar tahun 4 dari Sekolah Chung Ching Tanah Putih merupakan anak pertama dari dua beradik lelaki. Yang kedua berumur lapan tahun,” katanya.

Othman berkata bapa mangsa yang berumur 30 tahun bekerja sambilan sebagai penjual kereta terpakai selain menjadi pemandu Grab, manakala ibu mangsa mengambil upah menjaga tiga orang kanak-kanak di rumahnya.

Tambahnya, ibu dan bapa mangsa kini ditahan reman sehingga 16 Julai bermula semalam dan kes ini disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Jenazah kanak-kanak malang itu dituntut oleh keluarganya pada jam 3.40 petang semalam untuk dikebumikan. –KLICK.MY

Sumber: BERNAMA

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.