Viral

Keluarga Ini Tidak Sengaja Tertinggal Anak Selepas Makan Ikan Bakar

GEMPAR! Kisah seorang kanak-kanak yang ditinggalkan keluarga sebaik sahaja menjamu selera di sebuah kedai makan ikan bakar di Melaka tular di media sosial.

Kisah tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna laman sosial dengan keterangan, “Gempar!!!! Dah kenyang makan ikan bakar, keluarga terlupa anak tertinggal sehingga ketiduran atas meja!!!!!.”

Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu ditemui dalam keadaan bersendirian di sebuah premis ikan bakar, di Alai, Melaka.

Difahamkan, ahli keluarganya secara tidak sengaja telah tertinggal kanak-kanak terbabit lalu beredar meninggalkan premis berkenaan kira-kira jam 9.30 malam.

Pemilik kedai ikan bakar berkenaan, Irsyad Zainal, 32, berkata, melihat keadaan kanak-kanak itu yang ketakutan dia bertindak mendukungnya sambil cuba mencari ahli keluarganya.

“Disebabkan pelanggan yang ramai, saya tidak tahu kanak-kanak itu datang dengan pelanggan yang mana.

“Saya hampir membuat laporan polis kerana tiada siapa yang datang mengambilnya sebelum menerima panggilan daripada bapa kanak-kanak itu selepas hampir dua jam,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online.

Irsyad berkata, sebelum kejadian, ibu bapa kanak-kanak yang dipercayai datang dari Kuala Lumpur itu menjamu hidangan makanan laut di kedainya bersama ahli keluarga.

Dakwanya, kira-kira jam 12 tengah malam bapa kanak-kanak itu yang berusia 39 tahun akhirnya datang dan mengambil anaknya.

“Kanak-kanak itu selamat diserahkan kepada bapanya dan saya juga turut mengambil nombor kad pengenalannya sebagai langkah berjaga-jaga bimbang berlaku sesuatu kerana ketika dia datang anaknya sudah tidur.

“Sejak 18 tahun berniaga, inilah kali pertama saya berdepan dengan situasi ini. Tidak sangka ia menjadi perhatian selepas ada pelanggan yang menularkan di laman sosial. Bukan niat saya untuk mensensasikan hal ini,” katanya.

Kenyang punya pasal, sampai terlupa anak sendiri. Semoga kejadian ini dapat dijadikan pengajaran buat ibu bapa di luar sana. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.