Hiburan Terkini

Kekasih Fadlan Hazim Bakal Bergelar Mualaf, Giat Pelajari Islam

PELAKON kacak, Fadlan Hazim, 26, merancang untuk mengakhiri zaman bujang pada tahun hadapan dengan kekasihnya sejak zaman persekolahan, Julie Anne Kang.

Kekasihnya yang berbangsa Cina itu bakal bergelar mualaf dalam masa terdekat, seperti dilaporkan Harian Metro Online.

Fadlan belum dapat berkongsi tarikh rasmi terbabit tetapi kekasihnya yang juga seorang pereka kasut, kini giat menimba ilmu berkaitan agama Islam.

“Insya-Allah dia bakal bergelar mualaf tidak lama lagi. Buat masa sekarang dia seronok mendalami agama Islam. Saya pun sebenarnya tidak mahu dia bertukar agama hanya disebabkan kami mahu berkahwin. Biarlah hatinya terbuka untuk menerimanya dengan ikhlas.

“Sekarang pun, saya turut menemaninya mengikuti kelas bagi mempelajari lebih banyak mengenai Islam. Saya sedar bahawa diri ini banyak kelemahan namun mana yang boleh bantu, saya akan bantu,” katanya.

Fadlan mengakui bertuah kerana hubungan mereka mendapat restu keluarga kedua-dua pihak dan perkahwinan campur tidak menjadi masalah buat mereka.

Fadlan juga tidak kisah kalau ada yang mempertikaikan hubungan mereka dek kerana perbezaan bangsa.

“Pada saya perkara itu tidak perlu timbul kerana kita semua bangsa Malaysia. Mereka yang pertikaikan bangsa ini pada saya bukanlah rakyat Malaysia yang sejati. Lagipun kita hidup berbilang kaum di sini,” kata pelakon drama Tak Ada Cinta Sepertimu ini.

Semoga hubungan mereka berdua berakhir di jenjang pelamin. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.