kes bunuh Terkini Viral

Kejam, Satu Keluarga Dibunuh Perompak

Kejadian pembunuhan kejam dan ngeri berlaku di Kecamatan Medan Deli, Medan Indonesia ini melibatkan sebuah keluarga termasuk kanak-kanak.

Herianto, 40, maut bersama isteri, Yani, 35, ibu mertua, Marni, 60, dan dua anak mereka iaitu Naya, 14 dan Gilang Raksono, 10.

Herianto serta mertuanya ditemui terkujur di bahagian dapur manakala isteri dan anak-anaknya pula ditemui di atas katil di rumah mereka.

Manakala anak bongsu mereka yang berusia empat tahun dilaporkan kritikal dan masih lagi menerima rawatan lanjut di unit kecemasan di Hospital Mitra Medika.

Kejadian disedari oleh jiran mangsa selepas curiga dengan keadaan rumah mereka yang sunyi sepi awal pagi itu. Setelah puas memanggil, akhirnya dia memasuki rumah jirannya itu dan alangkah terkejutnya apabila mendapati mayat ahli-ahli keluarga jirannya terkujur bertaburan dengan penuh kesan darah di beberapa tempat.

Tidak menunggu lama, dia menghubungi pihak polis yang segera tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 10 pagi.

Menurut polis, setakat ini siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan maklumat awal menunjukkan ia kes rompakan berdasarkan beberapa barangan berharga hilang.-KLICK.MY