Semasa

Trend Berkreatif Dalam Bisnes Guna Nama Agama?

Sejak dua menjak ini makin menjadi-jadi pula kes di mana nama agama digunakan untuk mengaut keuntungan atau melariskan sesebuah perniagaan.

Wah, mudahnya nak buat duit zaman sekarang yek! Hanya guna nama agama, maka berduyun-duyunlah yang menyertainya walaupun terpaksa bayar dengan harga yang tak masuk dek akal.

Contoh kes terkini yang menjadi viral ialah isu ‘Valet Doa’ di Mekah, selain penganjuran kelas mengaji di atas jet mewah.

Susulan isu ‘Doa Valet’ dan kelas mengaji dalam jet mewah, ilmuan agama sudahpun tampil dengan kenyataan jelas yang membayangkan ianya sesuatu yang membimbangkan dari sudut hukum agama.

Bagi kes ‘Doa Valet’ Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengulas ianya sama sekali tidak menepati Islam yang sebenar, tidak mengikut syariat dan tidak berakhlak manakala Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan pengajian quran dalam jet mewah sebagai perbuatan bidaah.

Sungguh pun begitu, kedua-dua pihak yang menganjurkan Doa Valet mahupun pengajian dalam jet mewah turut tampil dengan penjelasan masing-masing bagi meyakinkan bahawa ianya tidak salah dan hanya menjadi isu kerana salah faham.

Sebenarnya penggunaan unsur agama untuk sesuatu produk atau servis yang menuntut wang ringgit yang kadangkala tak masuk akal bukanlah perkara baharu malah sesetengahnya jelas melanggar hukum agama.

Antaranya, pengedaran risalah kepada khalayak umum yang pernah menimbulkan kontroversi pada tahun lalu di mana seorang wanita dikenali sebagai Hajjah Hatijah Maulana Ismail mendakwa boleh menghapuskan dosa dengan bayaran RM5,000.00 (bayangkan kalau dalam sehari dia dapat 10 orang pelanggan).

Selain itu terdapat banyak lagi kes lain termasuk penjualan air jampi, pelbagai produk yang didakwa dibacakan al-quran dan sebagainya.

Setiap peniaga yang menggunakan unsur agama mungkin boleh tampil dengan pelbagai alasan namun hakikat sebenarnya hanya Allah SWT yang mengetahui apakah ianya benar-benar ikhlas atau terdapat unsur eksploitasi agama demi menggalakkan imbuhan keuntungan kat situ.

Wallahu’alam.. yang penting pihak pandai agama sudahpun mengeluarkan kenyataan bahawa penggunaan agama dalam sesetengah perniagaan sememangnya melencong daripada hukum syarak.  -CLICK.MY