Sensasi Terkini Viral

Kasar, Pengasuh Campak Anak Jagaan Sesuka Hati

Seringkali terjadi kes pengasuh mendera dan bertindak kasar dengan anak-anak di pusat asuhan dan jagaan. Namun, ia seperti tidak berkesudahan walaupun ada di antara mereka telah didakwa dan dihukum.

Terbaharu, sebuah video berdurasi satu minit 49 saat yang menunjukkan seorang pengasuh di sebuah pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak menghempas dan mencampak anak-anak jagaan secara kasar tular di laman sosial.

Video yang dinaik muat Ziera Shammudin, telah ditonton 609,000 kali dan dikongsi oleh 15,226 pengguna Facebook.

Lokasi sebenar pusat asuhan dan jagaan tersebut tidak dinyatakan, namun dipercayai berlaku di Malaysia.

Berdasarkan video, seorang pengasuh mendukung seorang bayi yang dianggar berusia dua tahun ke bawah sebelum menghempasnya ke tilam membuatkan kanak-kanak itu menangis.

Pengasuh itu kemudian menolak kepalanya dan mengangkat kedua-dua tangannya dengan cara yang tidak sepatutnya dan meletak mangsa di luar bersama rakan-rakannya yang lain.

Dalam kejadian yang kedua, seorang kanak-kanak lelaki secara tidak sengaja terbaling mainan sehingga terkena kaki pengasuh.

Perkara itu menyebabkan wanita berkenaan marah lalu membaling mainan itu sebelum mengangkatnya dan mencampaknya ke dalam bilik sehingga terkena mainan di lantai.

Kejadian itu disaksi oleh rakan sekerjanya, namun tidak mengambil sebarang tindakan.

Justeru, kebanyakan netizen menyeru agar pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak diwajibkan memasang kamera litar tertutup (CCTV) agak gejala negatif ini dapat dibendung.

Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Bertindak awal sebelum ada kanak-kanak yang kehilangan nyawa gara-gara dapat pengasuh yang panas baran.-KLICK.MY