Luar Negara Terkini

Plumbum Tinggi Dalam Maggi, Nestle India Didenda RM2.85j

NESTLE India didenda sebanyak 45,000 Rupee (RM2.85 juta) oleh kerajaan Uttar Pradesh, Utara India selepas produk mi segera keluarannya didapati gagal dalam satu ujian makmal kerana kandungan plumbum yang tinggi.

Agensi berita China Xinhua melaporkan, pentadbiran daerah Shahjahanpur mendapati kandungan plumbum dalam Maggi melebihi paras dibenarkan untuk makanan manusia.

“Secara keseluruhan, tujuh sampel yang diuji jabatan makanan dan keselamatan daerah didapati gagal memenuhi piawaian,” kata Majistret Tambahan Daerah J.K. Sharma kepada pihak media.

Bagaimanapun pihak Nestle India mempertikaikan hukuman itu kerana mendakwa sampel yang diambil oleh makmal daerah itu adalah dari keluaran Maggi tahun 2015 yang telah ditarik semula oleh Nestle India dari pasaran.

Pada Jun 2015, Penguatkuasa Keselamatan Standard Makanan India (FSSAI) mengharamkan mi segera Maggi atas alasan makanan itu tidak selamat dan memudaratkan.

Pada November 2015, Nestle telah melancarkan semula jenama mi Maggi untuk pasaran India selepas memenuhi piawaian dan syarat ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Bombay yang menjadikan pengharaman oleh FSSAI terbatal.

“Meskipun kami belum menerima perintah yang diputuskan oleh pegawai berkenaan, kami telah dimaklumkan bahawa sampel terbabit adalah dari tahun 2015 dan isunya berkaitan kandungan plumbum dalam mi.

“Kami akan failkan rayuan secepat mungkin selepas terima perintah itu dan kami ingin ulangi di sini bahawa Mi Maggi adalah 100 peratus selamat dimakan,” kata jurucakap Nestle India kepada media. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen