Terkini Viral

Kanak-Kanak Lemas Ditinggalkan Sendirian Dalam Tab

Sebuah rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang kanak-kanak yang duduk di atas pelampung berwarna merah jambu dibiarkan bersendirian di dalam tab mandi tanpa sebarang pengawasan orang dewasa.

Video yang menjadi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen ini berlaku pada jam 1.16 petang, 16 Mei 2017. Bagaimanapun lokasi kejadian tidak diketahui

Dalam video itu juga kelihatan kelibat seorang wanita dipercayai petugas premis berkenaan, keluar dari bilik meninggalkan mangsa bersendirian.

Sehingga satu ketika, tiba-tiba kanak-kanak itu cuba keluar dari pelampung namun gagal dan terus terbalik.

Akibatnya, kaki mangsa naik ke atas manakala kepala dan badannya berada di bawah air. Kelihatan kanak-kanak tersebut meronta-ronta selama seminit lebih sebelum disedari oleh seorang lelaki dan wanita yang ternampak kejadian tersebut.

Kedua-dua individu itu cuba menepuk bahagian belakang badan mangsa untuk mengeluarkan air dari dadanya. Bagaimanapun tidak diketahui nasib mangsa selepas itu.

Justeru kepada ibu bapa atau penjaga, jangan biarkan anak anda keseorangan terutamanya di dalam air. Sedangkan dalam baldi pun mereka boleh lemas apatah lagi di dalam tab mandi yang lebih besar.

Semoga kejadian ini menjadi pengajaran. –KLICK.MY