Hiburan Sensasi Terkini

Kalau Tahu Suami Orang Jauhkan Diri & Jaga Kelakuan – Bella Astillah

BERITA mengenai pemuzik bebas Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude yang sedang dalam proses bercerai dengan isteri pertamanya Intan Liana Saleh telah mengundang reaksi negatif netizen.

Masakan tidak, perceraian yang tidak disangka-sangka ini berlaku selepas lima bulan Ude mengahwini pelakon Izreen Azminda sebagai isteri keduanya.

Berkaitan: Intan Liana Reda Diceraikan, Mengaku Masih Sayangkan Suami

Pelbagai nukilan penuh emosi dilontarkan di platform media sosial dengan kebanyakan netizen menuding jari kepada Izreen malah ada yang mendakwa aktres itu punca perceraian yang bakal berlaku.

Antara yang memberi kenyataan berhubung isu ini termasuklah isteri kepada penyanyi Aliff Aziz, Bella.

Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 24, yang terkesan dengan kisah menimpa Intan memberi komen,  seseorang wanita itu seharusnya tahu membataskan hubungan dengan lelaki yang sudah beristeri.

“Betul ia melibatkan dua pihak tapi dari awal berjumpa mesti sudah tahu suami orang, seharusnya kita tahu limit kita, sebolehnya jauhkan diri dan jaga kelakuan.

“Hormatilah hak orang lain terutama sesama wanita dan kebahagiaan orang,” ujarnya.

Sudah tentulah Bella bercakap berdasarkan pengalamannya sendiri apabila Aliff sendiri pernah mengaku curang dengan keluar bersama pelakon Afifah Nasir ke pusat karaoke pada tahun lalu, ketika Bella masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka. Bagaimanapun Bella bernasib baik kerana rumah tangganya masih berjaya diselamatkan hingga ke hari ini.

Semoga rumah tangga Bella dan Aliff kekal bahagia manakala urusan Ude dan Intan dipermudahkan. Biar bagaimana sekalipun qada dan qadar tertulis,  sebagai hamba Tuhan kita harus menerimanya dengan tabah dan reda sebagai ujian hidup di dunia ini. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen