Hiburan Terkini

Jumpa Doktor Segera Kalau ‘Bengkak Susu’ – Ezzaty Abdullah

PADA akhir Januari lalu, pelakon Ezzaty Abdullah terpaksa dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan payudara kerana mengalami bengkak susu.

Menurut Ezzaty, bengkak yang terhasil itu telah mengandungi nanah kerana dibiarkan terlalu lama.

Ezzaty dan suaminya, Azwan Kombos dikurniakan anak perempuan diberi nama Harum Dahlia pada 6 Disember tahun lalu. Pasangan pelakon ini berkahwin pada Julai 2016.

Setelah melakukan pembedahan dan menjalani rawatan mencuci luka setiap hari selama seminggu, dia dibenarkan keluar.

Menerusi entri terbaharu pelakon ini di Instagram, dia berkongsi pengalaman dan menitipkan nasihat untuk ibu-ibu yang mengalami masalah bengkak susu.

Menurut Ezzaty, perkongsian tersebut dibuat kerana ramai yang menghantar ‘direct message’ (DM) kepadanya bertanyakan tentang hal tersebut.

Ikuti perkongsian dan nasihat daripada Ezzaty:

“Breast abscess (nanah payudara) yang saya alami berpunca daripada susu tersumbat dan menjadi bengkak susu. Kemudian apabila dibiarkan lama ia menjadi nanah. Tak sama seperti bengkak susu biasa. Sakitnya berganda-ganda daripada bengkak susu.

“Macam-macam cara saya cuba yang ada dalam google ‘cara atasi bengkak susu’ tapi semua tak berhasil. Nasihat daripada bidan yang mengurut juga saya sudah buat dan cuba tapi tetap gagal. Sampai saya sudah bosan dan muak dengar orang suruh saya tuang air panas la, sejuk la, letak kobis la sebab semua tu tak jalan.

“Tiga minggu saya menderita bengkak susu dan cuba cara tradisional tetapi semuanya sia-sia sampailah saya terkena breast abscess. Kalaulah saya terus berjumpa doktor mesti perkara tu takkan berlaku.

“Banyak cara doktor boleh selamatkan kalau saya pergi jumpa doktor lebih awal. Nasihat saya kepada semua ibu-ibu di luar sana, tolonglah terus berjumpa doktor pakar kalau lebih dari dua hari bengkak susu tak surut.

“Bukan saya tak bagi dengar nasihat dan ikut cara orang tua-tua tapi saya sudah alaminya. Bukan semua orang boleh surut bengkak dengan cara tersebut. Kalau sudah lebih dua hari tolonglah pergi jumpa doktor pakar.

“Jangan tangguh dan cuba lagi cara tradisional tu. Semua itu tak boleh dipakai lagi. Kalau boleh saya tidak mahu ibu-ibu kena macam yang saya kena. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Derita pengalaman paling pahit dalam hidup saya dan ibu-ibu yang pernah lalui pembedahan breast abscess ini biarlah kami saja yang rasa.

“Post ini kerana terlalu ramai yang DM saya tanya tentang ini. Saya bukanlah pakar. Saya cuma bercakap melalui pengalaman saja. Boleh berjumpa doktor untuk tahu lebih lanjut,” tulisnya.

Semoga perkongsian Ezzaty ini memberi manfaat kepada ibu-ibu yang pernah atau sedang mengalami masalah yang sama.

Benar juga kata Ezzaty, jumpa segera doktor dan jangan terlalu percaya atau berharap kepada petua tradisional sahaja. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.