Hiburan Sensasi Viral

Juliana Evans Tak Berhenti Berlakon, Lebih Selektif Pilih Watak

Pelakon dan pengacara Juliana Evans yang baru bergelar isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaman Shah Al-Hajj berkata dia tidak berniat meninggalkan bidang seni tetapi akan lebih selektif dalam memilih watak.

Juliana yang mesra dipanggil Jue berkata, dia perlu memilih watak yang sesuai bagi menjaga statusnya kini yang merupakan isteri dan menantu bagi keluarga kerabat diraja Johor dan Selangor.

“Tiada sebab saya perlu perlahankan karier kerana suami dan keluarga mertua juga menggalakkan saya meneruskan kerja seperti biasa.

“Tetapi sebagai seorang isteri saya akan menjaga batas dan lebih memilih tawaran diberikan agar ia bersesuaian dengan status saya kini,” katanya kepada mStarOnline.

Menceritakan kehidupannya setelah bernikah pada April lalu, Juliana berkata, hidup berumahtangga sangat indah dan berbeza berbanding zaman bujangnya.

“Dulu hidup bujang lain dan sekarang sudah berkahwin, ia sangat indah. Kalau dulu asyik bersama keluarga, sekarang berkepit dengan suami pula.

“Alhamdulillah keluarga mertua juga ramah walaupun saya cuba membiasakan diri namun mereka semua sangat bersahaja,” katanya yang kini bergelar Cik Puan.

Jika dilihat di laman Instagram miliknya, ternyata dia amat bahagia berkongsi foto-foto aktiviti bersama suami dan keluarga mertua.

Beruntung badan Juliana yang mempunyai suami dan keluarga mertua yang penyayang. –KLICK.MY