Hiburan Sensasi Terkini Viral

Jika Sayang Anak, Beri Mereka Suntikan Imunisasi – Hanis Zalikha

Pelakon Hanis Zalikha sanggup berhenti kerja sebagai pelakon dan pengacara sejak setahun lalu bagi menumpukan sepenuh perhatiannya kepada proses pembesaran anak kesayangannya, Yusof Iskandar.

Sudah tentu sebagai ibu yang bertanggungjawab Hanis ingin memberikan segalanya yang terbaik untuk anak sulungnya dengan suaminya, Hairul Azreen itu.

Menerusi laman Instagram miliknya, @haniszalikha, Hanis telah berkongsi satu tips kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya lebih peka mengenai suntikan imunisasi anak mereka.

Menurut Hanis, suntikan imunisasi adalah penting untuk menggelakan kanak-kanak daripada diserang penyakit yang berbahaya dan dia mengakui sedih apabila ada ibu bapa yang bersikap sambil lewa mengenai perkara itu.

“I love my family. Semua orang sayangkan keluarga mereka. Hancur hati Mommynis bila baca dan lihat bayi serta anak-anak kecil terkena penyakit yang sepatutnya boleh dicegah dengan imunisasi.

“Apatah lagi penyakit yang telah lama terhapus, kemudian kini wujud kembali kerana ada yang memilih untuk tidak berikan suntikan imunisasi anak-anak.

“Anak dan keluarga adalah amanah Allah. Jagalah mereka dan secara tidak langsung kita menjaga kesejahteraan masyarakat.

“Penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui imunisasi merupakan penyakit berjangkit yang boleh mengakibatkan morbiditi yang tinggi, mortaliti (kematian) dan risiko samada penyakit itu dapat dirawat atau tidak. Antaranya penyakit tibi, measles (campak), mumps (beguk), rubella, pertussis (batuk kokol), tetanus (kancing gigi), chicken pox (cacar), Japanese encephalitis dan lain-lain.

“Penyakit-penyakit berjangkit ini kerap menyerang kanak-kanak dan mempunyai komplikasi yang serius berbanding penyakit-penyakit lain,” tulisnya.
Muat naik tersebut telah menerima lebih 100,000 likes daripada pengikutnya di akaun IG.

Majoriti pengikutnya bersetuju dengan perkongsian itu dan mereka berharap agar ibu bapa muda di luar sana supaya tidak lupa beri suntikan imunisasi untuk anak-anak kecil agar dapat terhindar daripada penyakit berbahaya.

Diharapkan usaha Hanis memberi pendedahan terhadap pentingnya suntikan imunisasi dapat memberi kesesaran kepada ramai ibu bapa lain di luar sana dan menjadikan kanak-kanak di negara ini bebas penyakit berbahaya. –KLICK.MY