Gaya Hidup Terkini

Jejaka Inggeris, Mat Dan Syukur Terima Status Penduduk Tetap

KEPETAHANNYA bercakap dalam dialek Terengganu membuatkan Mat Dan atau nama penuhnya, Muhammad Kareef Daniel Abdullah dikenali ramai.

Kini dia merupakan selebriti popular di Malaysia walaupun asal usulnya nun jauh di negara Eropah.

Jejaka Inggeris yang telah mendirikan rumah tangga bersama wanita dari Terengganu ini, telahpun menerima kejutan semalam selepas Timbalan Perdana Menteri meluluskan statusnya sebagai Penduduk Tetap (PR) negara ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Ekspo Terengganu di Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus, petang semalam.

“Malah, kita juga ada ikon yang sudah terkenal di Terengganu, Mat Dan. Saya sudah luluskan Mat Dan jadi Penduduk Tetap Malaysia. Hebat Terengganu!” katanya.

Pengumuman Ahmad Zahid itu mendapat sorakan lebih 40,000 hadirin pada majlis berkenaan.

Beliau turut berseloroh dengan memberi peringatan kepada Mat Dan supaya tidak membuka “cawangan” dan setia dengan isterinya yang juga anak jati Terengganu.

Bercakap pada sidang media, Ahmad Zahid berkata, Mat Dan memenuhi kriteria dan syarat sebelum diberikan status sebagai PR.

“Kita sudah meneliti status keselamatan dan sumbangannya dalam membantu mempromosi produk Terengganu serta kriteria lain,” jelasnya.

Sementara itu Mat Dan atau nama Inggerisnya, Danial Tyler, 29, menyatakan rasa terkejut dan bersyukur dengan pengumuman mengejut oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan pengumuman ini dan sama sekali tidak menyangka.

“Memang menjadi impian saya untuk mendapat status (PR) ini kerana sejak datang ke Malaysia dan Terengganu pada 2009, saya sudah jatuh cinta dengan negara dan negeri penyu ini,” katanya yang sebelum ini memegang visa perkahwinan.

Sumber: HM Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen