Hiburan Terkini

Jamal Abdillah Anggap Isteri Baharu Anugerah Terindah Daripada Tuhan

MENDIRIKAN rumahtangga buat kali keempat tidak bermakna kebahagiaan bukan milik Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.

Jamal memperkenalkan isteri baharunya, Zai Izzati Khiruddin, 24, yang dinikahinya 11 bulan lalu buat pertama kali kepada pihak media semalam.

Penyanyi itu mengaku terpikat dengan keperibadian wanita itu yang lembut dan menyifatkan isteri peneman setia hidupnya sekarang.

“Dia anugerah terindah daripada Tuhan,” katanya pada sidang media mengumumkan persembahan istimewa sempena minggu setiausaha bersama Dayang Nurfaizah pada 25 April depan, di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi.

Jamal dan Izzati yang berasal dari Kulim, Kedah bernikah di Ipoh, Perak pada 1 April tahun lalu.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkahwinannya, Jamal memberitahu, biarpun jodoh diatur keluarga dengan jarak perbezaan usia 35 tahun, Izzati cukup disayangi dan dihargainya.

“Isteri adalah anugerah Tuhan yang paling indah. Bukan soal mahu memperkenalkan dia, sebaliknya isteri adalah peneman setia ke mana saja saya pergi,” katanya.

Tambah Jamal, mereka hanya berkawan dua bulan sebelum berkahwin.

“Itu pun kami berjumpa sekali saja sebelum bernikah. Ini kerana kami sibuk membuat persediaan majlis,” katanya.

Akui Jamal, selain keperibadian isteri yang lembut anak-anak juga senang dengan wanita itu, membuatkan dirinya yakin Izzati adalah pilihan tepat.

Ini adalah perkahwinan keempat buat penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini. Jamal pernah mendirikan rumah tangga dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad namun gagal.

Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 17, hasil perkahwinan dengan Noraina dan Ahmad Zaki Yamani, 11, daripada isteri ketiganya, Fatimatuzahrah. –KLICK.MY

Sumber: BH Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen