Hiburan Terkini

Izreen Azminda Kesal Ada Pihak Guna Namanya Untuk Buka IG Palsu

NASIB malang terus menimpa diri pelakon Izreen Azminda. Sejak berkahwin dengan suami orang, dia dikecam hebat sehingga terpaksa menutup akaun Instagramnya (IG).

Ibarat jatuh ditimpa tangga, Izreen sekali lagi menerima ujian terbaharu apabila ada pihak tidak bertanggungjawab membuka akaun palsu IG dengan menggunakan nama dan gambarnya.

Seperti yang dilaporkan oleh BH Online, Izreen kesal dengan pihak tersebut yang seolah-olah mahu menutup periuk nasinya.

Menurut isteri kepada pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude ini, dia terkilan apabila beberapa status mengelirukan dimuat naik menerusi akaun palsu menggunakan nama, @therealizreenazminda sejak 5 Mac lalu.

Paling mengecewakannya mengenai status yang dimuat naik di IG tersebut yang dia bakal meninggalkan kerjaya seni kerana tidak mahu lagi dihimpit kontroversi sejak memilih untuk hidup bermadu.

Izreen berkata, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu mengundurkan diri daripada dunia seni seperti yang ditulis dalam akaun palsu itu.

“Ini penganiayaan besar terhadap saya. Ketika saya berdepan kecaman dan hentaman masyarakat, akaun IG palsu ini diwujudkan bagi mengeruhkan lagi keadaan dengan pelbagai kenyataan yang bukan datang daripada mulut saya.

“Saya tidak tahu angkara siapa, tetapi biar Allah SWT yang membalasnya. Selama ini, saya hanya memiliki satu akaun Instagram, tetapi sudah dinyah aktif sejak sebulan lalu.

“Mana mungkin saya meninggalkan kerjaya seni kerana ini mata pencarian utama saya. Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran berlakon dan ketika ini, saya sibuk dengan penggambaran drama.

“Saya percaya, semua ini cubaan untuk menutup periuk nasi saya, tetapi tidak mengapa. Biarlah kerana Allah ada,” katanya.

Izreen berkata, ketika ini, dia memilih untuk menutup akaun laman sosialnya bagi mengelak daripada berterusan dihimpit kontroversi.

Berkaitan: Tak Tahan Dikecam, Izreen Azminda Nyahaktif Akaun Instagram?

“Saya akan aktifkan semula akaun IG itu pada masa yang saya rasakan sesuai nanti. Buat masa ini, saya selesa memilih untuk menutupnya,” jelasnya.

Tabahlah wahai Izreen. Berdoalah kepada Allah agar disejukkan hati netizen dan memaafkan kamu. Masyarakat memang tidak akan lupa hal itu, tetapi tidak mustahil satu hari nanti mereka akan memaafkan kamu. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen